Table of Contents
Kandang kambing adalah salah satu perkara yang mesti ada apabila ingin memulakan ternakan kambing. Membina kandang kambing yang kemas dan terbaik perlu bagi memastikan kerja-kerja memelihara kambing ini akan menjadi mudah selain memberikan keselesaan kepada kambing yang diternak. Di dalam slot perkongsian ini kami kongsikan apa yang perlu untuk design kandang kambing anda.
Jenis Kandang Kambing
Terbanyak banyak jenis variasi reban kambing yang dibina mengikut kepakaran dan keperluan peternak masing-masing. Secara umumnya jenis kandang kambing ini boleh dibahagi kepada dua iaitu:
- Kandang kambing lantai tanah
- Kandang kambing lantai atas
Jenis kandang kambing lantai tanah ini adalah reban jenis tradisional, bahagian bawah kandang ini biasanya ditambah dengan tanah dan mempunyai pagar di kawasan sekelilingnya. Tanah yang ditambah ini untuk meninggikan kawasan kadang bagi memudahkan kerja-kerja membersihkan kadang. Kandang jenis ini kurang baik untuk ternakan kambing komersial.
Kandang kambing lantai atas ini adalah jenis yang biasa dilihat di dalam ternakan kambing komersial. Lantai kandang jenis ini mempunyai ketinggian antara 5 ke 6 kaki daripada tanah. Kambing akan ditempatkan di lantai yang tinggi semasa berada di dalam reban dan hanya dilepeskan untuk meragut. Konsep kandang ini lebih baik berbanding kandang lantai atas kerana beberapa sebab iaitu:
- Pengudaraan yang baik
- Memudahkan kerja membersihkan najis
- Terlindung daripada penyakit
Untuk slot ini kami hanya kongsikan reka bentuk reban lantai tinggi sahaja kerana kandang jenis ini adalah yang terbaik untuk ternakan kambing secara serius masa kini.
Design Kandang Kambing Lantai Tinggi
Untuk reka bentuk kandang kambing ini anda mesti menitikberatkan beberapa kriteria bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan juga keselesaan kambing yang diternak. Oleh sebab itu, untuk membina kandang kambing terbaik ini perlu melihat beberapa perkara seperti berikut:
Rangka Kandang
Perkara utama dalam membina rangka kandang kambing ini adalah pastikan ia dibina bertentangan dengan arah naik dan turun matahari serta lebarnya tidak melebihi 9 meter (20 kaki). Ukuran kandang kambing ini bagi memastikan kandang menerima cahaya matahari yang cukup sepanjang hari, keperluan cahaya matahari ini perlu untuk memastikan kambing aktif dan sihat sepanjang hari.
Panjang kandang pula bergantung kepada kapasiti kambing dan tanah, kebiasaanya sehingga 30 meter (100 kaki). Semua rangka kandang hendaklah diperbuat daripada material yang keras dan tahan lama, ini bagi mengelakkan berlaku sebarang kerosakan yang menyukarkan untuk dibaiki pada kemudian hari.
Rangka dalaman pula mesti direka untuk menampung keperluan semasa kambing seperti kambing jantan, bunting, beranak, anak, dan sakit. Bahagian di dalam kandang ini dipanggil pan berfungsi untuk pengasingan kambing. Pengasingan kambing-kambing ini perlu bagi memastikan:
- Kambing yang sakit diasingkan
- Mengawal proses mengawan kambing
- Mengasingkan ibu dan anak kambing baru beranak
- Mengelakkan stress
Untuk bahagian jantan hendak dibina dinding yang lebih tinggi bagi mengelakkan ia melompat ke bahagian lain.
Atap Kandang
Untuk reka bentuk atap kandang pula yang paling terbaik dan sesuai dengan iklim di Malaysia adalah jenis double roofing. Ini bagi memastikan berlakunya pengudaraan yang baik di dalam kandang kambing dan mengeluarkan wap haba panas pada waktu tengahari. Antara material yang digunakan untuk membuat atap adalah seperti asbestos, zink, dan aluminium. Anda boleh memilih material ini bergantung kepada bajet yang anda ada.
Tambahan, anda juga boleh mengenakan atap lutsinar di antara atap kandang bagi memberikan cahaya yang berterusan kepada kambing. Tinggi lantai dengan atap dicadangkan adalah 2 meter (8 kaki). Rujuk gambar
Tangga Kandang
Tangga adalah antara perkara penting yang sering diambil ringan oleh banyak peternak. Untuk membina tangga ini tidaklah perlu kos yang tinggi sebaliknya ia mesti kukuh untuk menampung jumlah kambing yang diternak.
Pastikan tangga ini tidak terlalu curam iaitu sekitar 30 ke 40 darjah sahaja. Susun papan secara melintang dan rapat bagi memudahkan kambing untuk turun dan naik ke kandang. Untuk memudahkan pekerja menolak kereta sorong ke atas kandang, sediakan ruang kosong tanpa papa melintang di tengah-tengah sepanjang tangga tadi.
Pagar Kandang
Untuk ternakan kambing komersial anda memerlukan pagar yang baik sebagai salah satu alat biosekuriti ternakan kambing anda. Anda boleh sahaja menggunakan pakar jenis dawai atau kawat duri di sekitar kawasan kandang bagi menghalang sebarang kemasukan haiwan liar dan pencuri.
Namun penggunaan kawat berduri tidak digalakkan kerana berkemungkinan boleh membawa kepada kecederaan kepada kambing ternakan. Untuk ketinggian pagar pula anda boleh membina pagar setinggi 5 kaki minima, ini kerana pagar yang terlalu rendah membolehkan kambing melompat keluar terutamanya kambing jantan.
Pelan Kandang Kambing
Berikut kami kongsikan pelan kandang kambing untuk rujukan anda, plan ini adalah plan ringkas bagai memudahkan anda untuk mudah faham akan kriteria perlu untuk kandang kambing terutamanya melibatkan ukuran kandang kambing.
Akhir Kata
Kandang kambing sebenarnya boleh di inovasi berdasarkan keadaan tanah, jumlah kapasiti kambing, serta bajet poket anda. Perkara yang paling penting dalam mendirikan rumah kambing ini adalah keselesaan kambing bagi mengelakkan stress dan juga untuk memudahkan pekerja melakukan penyelenggaran harian ternakan kambing anda. Diharap dengan info ringkas ini membantu anda untuk membina rumah kambing terbaik anda.