Table of Contents
Kandang kambing atas tanah adalah salah satu jenis kandang kambing yang terdapat di Malaysia. Kandang atas tanah ini juga dikenali sebagai kandang lantai rendah dan termasuk di dalam konsep kandang jenis tradisional. Walaupun kandang ini berkonsepkan tradisional tetapi masih terdapat peternak kambing yang masih menggunakan kandang jenis ini.
Di dalam slot perkongsian ini kami kongsikan info berkenaan kandang kambing atas tanah dan adakah ia sesuai untuk ternakan kambing di Malaysia? Baca hingga habis ya..
Perbezaan Lantai Tinggi Dan Lantai Tanah
Apabila bercakap yang mana lebih baik antara lantai tinggi dan lantai tanah ini semuanya berbalik kepada kewangan masing-masing. Kandang kambing atas tanah ini tidak memerlukan kos yang banyak untuk didirikan, tetapi memerlukan tenaga kerja yang kuat untuk aktiviti kebersihan setiap hari.
Kandang kambing atas tanah ini boleh dilihat diamalkan di negara Australia dan Eropah tetapi mempunyai sistem pengurusan yang tersusun terutamanya dalam pengurusan tinja kambing. Ada diantaranya mempunyai sistem yang tertutup dan berskala besar.
Kandang Kambing Lantai Tanah Di Malaysia
Jika dilihat berdasarkan iklim di Malaysia kandang jenis lantai tinggi adalah yang terbaik untuk diamalkan. Ini kerana kelebihan lantai tinggi ini memudahkan urusan penyelenggaraan seperti pengurusan tinja dan kebersihan.
Lantai tinggi ini juga berfungsi untuk mengalirkan gas amonia yang terhasil daripada tinja kambing agar tidak berkumpul di kawasan kandang. Bagi kandang lantai tanah pastinya memerlukan tenaga yang lebih untuk menyapu dan menyodok tinja kambing ini setiap hari.
Oleh yang demikian, kandang kambing jenis tanah ini kurang sesuai untuk ternakan kambing secara komersal tetapi masih boleh diamalkan untuk ternakan kambing pada skala kecil atau menternak sekadar hobi sahaja.
Kelebihan Kandang Kambing Atas Tanah
Ternyata kelebihan yang ada pada kandang jenis lantai rendah ini adalah ia lebih jimat berbanding jenis lantai tinggi. Untuk membina jenis kandang ini anda tidak memerlukan penggunaan kayu yang banyak, tetapi hanya memerlukan plan kawasan pagar dan beberapa bahan campuran untuk dijadikan sebagai tanah dalam kandang.
Bahan-bahan yang boleh digunakan untuk membuat lapisan tanah dalam kandang kambing atas tanah adalah :
- Tar
- Pasir
- Kapur
- Jerami (untuk mematikan kuman)
Bahan-bahan di atas adalah antara bahan yang biasa digunakan sebagai tapak di dalam kandang kambing jenis atas tanah. Anda juga boleh membuat beberapa campuran lapisan berselang-seli untuk menjadikan tanah kandang lebih tinggi daripada tanah luar kandang.
Pastikan tanah di dalam kadang lebih tinggi berbanding kawasan sekitar bagi mengelakkan berlakunya banjir di dalam kandang kambing. Jerami pula boleh diletakkan sebagai tempat untuk kambing beristirehat di dalam kandang.
Gambar Kandang Atas Tanah
Berikut kami sertakan beberapa gambar contoh kandang kambing atas tanah yang boleh dijadikan rujukan bagi anda yang ingin membina kandang kambing cara jimat ini.
kredit google
Akhir Kata
Walaupun kandang kambing lantai rendah ini kurang baik untuk ternakan kambing komersial di Malaysia, tetapi ia masih boleh diamalkan untuk ternakan berskala kecil dan bagi peternak yang mempunyai modal terhad untuk membuat kandang kambing lantai tinggi. Diharap dengan info ini membantu anda untuk membina kandang lantai rendah sendiri nanti.